Mangga Ads

Monday, June 9, 2008

satu renungan dalam diri

PERLU NEGARA HIDAYAH Daulah Hidayah atau negara yang membawa petunjuk merupakan satu istilah yang dimasyhurkan oleh As-Syaikh Abu Al-Hasan An-Nadawi, kata ungkapan itu dinukilkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya yang bertajuk ”min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam” (m.s 47). Dalam mengulas tentang negara Hidayah ini, didatangkan juga lawan bagi negara hidayah yang dinamakan sebagai negara Jibayah, atau negara yang kerjanya hanya memungut cukai dari rakyat. Bentuk negara hidayah adalah, negara yang akan berusaha untuk menyampaikan mesej islam kepada manusia di segenap tempat. Mesej Islam yang merupakan rahmat dari Allah SWT. Dalam menyampaikan hidayah itu, antara caranya adalah dengan menggunakan perlaksanaan Islam dalam pemerintahan. Dengan pemerintahan islam, menyebabkan manusia akan memahami Islam, yang dengan itu, mereka akan merasakan keindahan Islam, lalu menerima Islam sebagai agama pegangan hidup. Perlaksaan islam itu, antaranya adalah berusaha dalam menghapuskan pemikiran bagi negara-negara yang hanya sering mengutip cukai dari rakyat atau berusaha untuk menjadikan negara itu sebagai negara yang berkebajikan. Jika diperhatikan kepada pemerintahan contoh, iaitu pemerintahan Omar Abdul Aziz, didapati bahawa beliau melaksanakan bentuk negara berkebajikan dengan tidak menjadikan cukai sebagai sesuatu yang penting. Ini dibuktikan, di mana seorang Gabenor beliau dari Mesir telah menulis surat kepada Omar mengadu kepadanya tentang ramainya manusia memeluk islam yang menyebabkan gugurnya kewajipan Jizyah. Zakat juga tidak dikenakan kepada mereka melainkan setelah satu tahun daripada kemasukan mereka ke dalam Islam. Dalam keadaan itu, Gabenor itu telah meminta dari Omar agar tetap mewajibkan pembayaran jizyah dari mereka yang telah memeluk Islam demi kepentingan khazanah negara dan memperolehi kemasukan harta. Membaca kandungan surat tersebut, menyebabkan Omar berkata; ”semoga Allah memburukan pandangan kamu. Sesungguhnya Allah mengutuskan Muhammad sebagai pembawa hidayah, bukannya sebagai pemungut cukai” (Min Fiqh Ad-Daulah fi Al-Islam : m.s 49) Dari kisah ini, jelas kepada kita bahawa jalan penyelesaian tentang isu kenaikan harga minyak ini adalah perlunya berusaha membina sebuah negara hidayah. Dengan pemerintahan cara Negara Hidayah sahaja, dapat menjamin kehidupan manusia berada dalam keamanaan, keselamatan, keselesaan dan sebagainya. MINYAK NAIK Apabila menyebut negara hidayah, sudah pasti merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Menurut Al-Quran dan As-Sunnah, Minyak merupakan perbendaharaan negara yang tidak boleh dicabuli untuk kepentingan orang-orang tertentu sahaja, bahkan wajib diagihkan sesama rakyat dalam sesebuah negara, samada kepada muslim atau non muslim. Juga perlu diperhatikan, minyak di zaman sekarang tidaklah seperti gambaran minyak di zaman dahulu. Jika dahulu, minyak merupakan satu perkara sampingan, tetapi kini, minyak merupakan perkara asasi. Mana tidaknya, semua pengurusan hidup manusia kini tertakluk kepada minyak, hatta yang berkaitan dengan makanan sekalipun. Misalnya, jika dahulu, orang mengangkut padi menggunakan binatang, tetapi kini lori menjadi kenderaan pengangkutan, yang sedikit sebanyak, dengan kenaikan harga minyak itu sendiri akan menyebabkan kos pengakutan padi juga akan meningkat.Inilah penyebab utama yang menyumbang atas kenaikan harga padi. Begitujuga pada barang-barang yang lain. Dari ini difahami, kenaikan harga barang-barang yang lain, semuanya tertakluk dengan kenaikan harga minyak. Dengan itu, jelaslah bahawa kini minyak bukanlah boleh difahami sebagai perkara sampingan, tetapi perkara asasi dalam sesebuah negara. Apabila sesuatu itu sudah menjadi perkara asasi bagi sesebuah negara, maka tidak boleh dijadikan sebagai bahan perniagaan demi menguntungkan golongan tertentu. Sabda Nabi SAW; الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ فِي الْكَلَإِ وَالْمَاءِ وَالنَّارِ Maksudnya; ”Orang islam itu berkongsi pada tiga perkara, pada rumput, Air dan Api” (Sunan Abi Daud : 3016) Dari hadis ini, Baginda SAW menyatakan tentang kegunaan asasi di zaman baginda. Rumput merupakan makanan binatang ternakan, juga makanan binatang tunggangan. Air merupakan perkara asasi bagi kehidupan manusia. Dan Api pula merupakan kegunaan dalam mendapatkan cahaya bagi manusia di waktu malam, juga untuk kegunaan memasak. (Aun Al-Ma’bud : 7/470) Jika dilihat pada matan hadis dari sunan Ibni Majah, akan didapati bahawa disana ada sedikit penambahan iaitu; الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ فِي الْمَاءِ وَالْكَلَإِ وَالنَّارِ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ Maksudnya; “Orang islam berkongsi pada tiga perkara, iaitu pada air, rumput dan Api. Hasil pendapatannya adalah haram” (Sunan Ibni Majah : 2463) Dari hadis ini, didapati Baginda SAW menyatakan, dari tiga perkara ini, yang merupakan perkara asasi bagi kegunaan sesuatu tempat, ianya tidak boleh dijadikan sebagai bahan untuk mencari keuntungan. Jika dilakukan juga, segala pendapatan dengan tujuan keuntungan itu adalah haram. Oleh yang demikian, apabila dilihat minyak kini sudah dikira sebagai perkara asasi, maka tidak selayaknya minyak dijadikan sebagai bahan keuntungan dari pihak kerajaan, bahkan sewajibnya, segala hasil jualan minyak tersebut disubsidikan kepada rakyat, kerana ianya adalah milik rakyat seluruhnya. PENUTUP Jika merujuk kepada Islam, sudah pasti kita akan dapati bahawa kenaikan harga minyak yang dilakukan oleh pihak kerajaan pada 4 Jun baru-baru ini merupakan tindakan yang bersalahan dengan Syariah. Tindakan kerajaan yang menaikan harga minyak, dengan membebankan rakyat, merupakan satu perkara yang jelas bahawa kerajaan sedang berniaga dengan rakyat. Tindakan seperti ini adalah haram disisi Syariah, bahkan bercanggah dengan maksud bentuk negara hidayah yang menyeru kepada rahmat. Sesungguhnya berniaga dengan rakyat merupakan tindakan yang haram dari segi syariah, bahkan ianya akan menghasilkan kebinasaan kepada sesebuah negara. Hal ini pernah dinyatakan oleh Ibnu Khaldun dalam kitab “muqaddimah”, iaitu perkataannya; أن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا Maksudnya; “Sesungguhnya perniagaan daripada pihak kerajaan, merupakan kemudharatan terhadap rakyat” (Muqaddimah : m.s : 151) Oleh yang demikian, perlunya kembali kepada Islam dalam menyelesaikan kemelut kenaikan harga minyak ini. Jika tidak, nescaya kemelut ini tidak berkesudahan sehingga bila-bila pun.

No comments: