Mangga Ads

Monday, June 16, 2008

Didik Anak

Didik anak-anak dengan ilmu agama dan ilmu dunia

MARILAH kita sentiasa bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala iaitu dengan menjalankan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala apa-apa jua larangan-Nya. Dengan bertakwa itulah yang dapat menimbulkan kesedaran untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala kerana yang demikian itu merupakan bekal yang baik untuk kehidupan dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Anak merupakan anugerah yang sangat berharga dari Allah Subhanahu Wataala. Ia merupakan amanah Allah yang mesti dijaga dengan sempurna, diberi pendidikan yang padu dan mantap.
Namun begitu sebahagian manusia tidak dapat mengimbangi dalam soal memelihara anak, ada yang terlalu sayang kepada anaknya diberi kemanjaan yang begitu tinggi sehingga menjadikan anak rosak pada masa hadapannya, di mana mereka berkemungkinan akan menjadi golongan belia remaja yang tidak tahu untuk hidup berdikari, terlalu bergantung kepada orang tua, kurang bijak dalam mengendalikan soal kehidupan dan akhirnya akan menjalani kehidupan ini tanpa mengetahui matlamat yang sebenar lagi hakiki. Di samping itu ada juga terdapat golongan ibu bapa yang bersikap terlalu kejam kepada anak-anak dan didera dengan pelbagai cara. Cara yang demikian bukannya dapat membentuk anak tersebut menjadi baik sebaliknya akan membesar sama ada menjadi seorang yang sentiasa hidup dalam tekanan dan ketakutan ataupun menjadi sebagaimana sikap kedua ibu bapanya dan kemungkinan besar mereka akan mencontohi cara pendidikan kejam ibu bapa mereka terhadap anak-anak mereka pula. Dari itu pembentukan peribadi seorang anak tersebut perlu dibentuk dari kecil lagi dan sebaik cara ialah kita kembali kepada konsep pendidikan yang telah digarap dan diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu suatu konsep yang berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebung'. Dari itu pendidikan pertama yang perlu kita ajarkan pada anak-anak ialah memperkenalkan mereka kepada Allah Subhanahu Wataala, Tuhan yang berkuasa kepada sekalian makhluk dan seluruh alam ini dan tiada yang berkuasa melainkan Allah Subhanahu Wataala. Dengan yang demikian akan menghidupkan jiwa tauhid ke dalam diri mereka sekali gus kehidupan mereka akan terpimpin dengan ikatan iman yang teguh terhadap Allah Subhanahu Wataala dari kecil lagi. Dan juga kita seharusnya memperkenalkan anak-anak dengan kalimah "Lailaha- illallah'' sebagaimana saranan yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam maksud sabdanya:

"Bukakan hati anak-anak kamu itu dengan ucapan yang pertama sekali iaitu Lailahaillallah.'' - Diriwayatkan oleh Al-Hakim daripada Ibnu Abas Radiallahuanhu.
Namun di era mengejar arus pemodenan ini menjadikan sebilangan ibu bapa lebih senang mendidik anak-anak mereka secara kebaratan, bangga jika anak-anak dapat bertutur dalam bahasa asing sehingga ada di antara anak-anak tersebut kurang kemahiran untuk bertutur dalam bahasa ibunda sendiri apatah lagi untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Dari kecil anak-anak diperkenalkan kepada cerita-cerita dongeng yang pastinya kadang-kadang sebahagian cerita tersebut tidak dapat diterima oleh akal dan hanyalah merupakan khayalan semata-mata, di mana akhirnya anak-anak akan hanyut dalam dunia yang fantasi, dianggapnya benar terjadi dalam satu kenyataan. Sepatutnya kita mendedahkan kepada mereka sejarah Nabi dan Rasul, orang-orang salih, pahlawan-pahlawan dan tokoh-tokoh di kalangan orang-orang Islam sebagai panduan hidup dengan itu dapatlah mereka membesar menjadi remaja belia Muslim yang sempurna.

Ibu bapa sering menasihati anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh hingga ke peringkat yang tinggi dengan harapan agar mereka dapat menjawat jawatan yang baik apabila dewasa kelak serta dapat memiliki kehidupan yang mewah di dunia ini, akan tetapi sebahagian kecil dari mereka lupa untuk menggarapkan ajaran ilmu agama ke dalam jiwa anak-anak mereka kerana leka dan terlalu ghairah agar anak-anak mereka berjaya dalam ilmu duniawi sahaja.
Sepatutnya anak-anak perlu juga dididik dengan ilmu agama berganding sama dengan ilmu dunia supaya mereka dapat mengimbangi antara kemewahan dunia dan akhirat. Jika tidak pastinya anak-anak tersebut akan lebih suka mengejar kepuasan material dari spiritual, lebih senang mengejar kesenangan dunia dari kesenangan akhirat yang kekal abadi.
Sesungguhnya cabaran terbesar yang dihadapi oleh anak-anak di masa ini ialah sistem penyebaran maklumat yang serba canggih yang wujud pada masa ini, di samping perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Jangankan anak-anak dan golongan remaja belia berkemungkinan akan hanyut dengan pemodenan ini, kita pun juga pastinya turut terjebak jika tidak mengambil sikap berhati-hati dan berwaspada. Jikalau iman dan takwa menjadi benteng kita insya-Allah kita akan dapat menghindarkan diri dari terjerumus ke dalam keasyikan ciptaan manusia. Ini kerana sistem maklumat bukan sahaja mendedahkan kita kepada perkara yang berguna lagi bermanfaat tetapi juga kepada keburukan jika disalahgunakan.
Selain dari itu kesan dari perubahan global juga merubah gaya hidup dan akhlak komuniti masyarakat kepada lebih bebas dan berani, pakaian menjolok mata sudah menjadi trend, tutur kata yang kurang sopan dan lucah serta sumpah seranah menjadi mainan di mulut-mulut, keganasan berlaku di mana-mana dan adab sopan santun sudah tidak lagi menjadi pakaian peribadi. Dari itu anak-anak perlu dididik dengan agama Islam yang sebenar sebagaimana yang dianjurkan dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya mereka dapat membezakan antara yang baik dan sebaliknya serta dapat menangkis dan menahan diri dari terjebak ke dalam kemusnahan tersebut. Ini kerana jika diteliti, golongan kanak-kanak dan belia remajalah yang paling mudah terpengaruh dengan permasalahan tersebut.

Kita sebagai ibu bapa sudah setentunya mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita sama ada dari segi pendidikan agama dan ilmiah, akhlak dan peribadi. Dengan terbentuk peribadi yang mulia yang disemai dari kecil akan berkembang menjadi belia yang dikehendaki oleh Islam, berjiwa jihad terhadap agama dan negara, berakhlak mulia, mentaati suruhan agama, menjauhi yang mungkar serta terhindar dari gejala-gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, kerana itu golongan remaja merupakan aset berharga kepada negara, dan kepada merekalah bakal diletakkan teraju pemerintahan negara dan akhirnya akan terbinalah nanti generasi contoh yang boleh diharapkan untuk membina sebuah negara yang maju dan makmur.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Tahriim ayat 6 yang tafsirannya:
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri- mu dan keluargamu dari Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya Malaikat-malaikat yang kasar, yang keras yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.'



Marilah kita sama-sama hayati rencana ini untuk kebaikan bersama.
'

No comments: