Mangga Ads

Monday, June 16, 2008

Ilmu Akademik Cabang Drp Al-Quran

Ilmu akademik cabang dari Al-Quran

ZAMAN persekolahan adalah peluang keemasan untuk menimba ilmu pengetahuan, bermula dari peringkat tadika, rendah, menengah, pengajian tinggi dan sehingga ke akhir hayat. Menuntut ilmu tiada mempunyai masa yang terhad. Kita menuntut ilmu bukan hanya setakat belajar formal saja seperti di sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi. Persekolahan itu hanya sebagai tempat untuk memudahkan pelajar agar mereka belajar mengikut sistem pelajaran yang telah disesuaikan mengikut peringkat-peringkat umur.
Kemudahan ini begitu berharga untuk diraih dan teramat rugilah bagi pelajar yang mengabaikannya begitu saja. Dalam soal pendidikan pula, seperti yang kita tahu bahawa sebaik-baik waktu untuk mendidik anak adalah sedari mereka kecil lagi. Ini bersesuaian dengan pepatah lama orang-orang Melayu kita iaitu 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Sebagai umat Islam, kita dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjalani kehidupan ini dengan berpegang kepada dua sumber iaitu Al-Quran dan Sunnahnya. Sesungguhnya isi di dalam Al-Quran itu mencakupi semua pekara di dalam kehidupan manusia, sama ada dari segi ibadat, muamalat, jena-i, siyasah, sains, geografi dan sebagainya. Ilmu-ilmu tersebut telah dipecahkan mengikut jenis-jenisnya seperti ilmu ibadat dengan kaedah-kaedah dan dalil-dalilnya, muamalat dengan kaedah-kaedah dan dalil-dalilnya, ilmu sains dengan kaedah-kaedahnya, ilmu alam dengan kaedah-kaedahnya dan sebagainya.

Sejak dari dulu lagi mata pelajaran akademik di sekolah-sekolah mahupun di pusat-pusat pengajian tinggi, tidak dikaitkan kajiannya dengan sumbernya yang asal iaitu Al-Quran. Seolah-olah mata pelajaran akademik itu adalah ilmu yang terpisah dari sumber asalnya, dan 'keterpisahan' ini juga seolah-olah menyebabkan pelajar-pelajar dalam bidang akademik beranggapan bahawa bidang mereka itu tiada berkaitan dengan Islam. Sudah setentunya mereka juga berpendapat bahawa pelajaran akademik itu adalah ilmu ciptaan manusia. Padahal tanpa disedari ianya adalah hasil renungan para pengkaji-pengkaji Barat terhadap ciptaan-ciptaan Allah Subhanahu Wataala. Sayangnya kaedah renungan yang menjadi amalan dalam kehidupan Nabi junjungan kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dahulu hanya banyak dipraktikkan oleh orang-orang yang bukan Islam. Bagaimana kalau kita menebus semula kelalaian kita itu dengan menyedarkan semula umat Islam dari dilema tersebut?

Pada hari ini, kita juga tidak ketinggalan dalam menggunakan teknologi maklumat yang telah dipelbagaikan caranya. Generasi yang pernah belajar mengenai subjek-subjek akademik juga semakin banyak mengetahui hal-hal kejadian manusia dan alam. Akan tetapi mereka perlu diingatkan bahawa mata pelajaran akademik tersebut adalah mata pelajaran yang dikembangkan melalui Al-Quran, dan bukannya ilmu-ilmu berbentuk ibadat sahaja yang terkandung di dalam Al-Kitab tersebut. Kita mesti berfikiran positif bahawa dengan cara ini akan dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berpengetahuan dalam bidang-bidang akademik, bahkan juga mereka sentiasa merujuk kepada indung segala ilmu iaitu Al-Quran dalam setiap kajian mereka.


Untuk merealisasikan iltizam ini, adalah sangat perlu disadurkan dalam setiap mata pelajaran akademik tersebut dalil-dalil dan bukti-bukti melalui ayat-ayat Al-Quran atau sumber rujukan Islam yang lain. Mungkin pada peringkat awal ianya nampak susah kerana pihak yang bertanggungjawab dalam susunan dan sukatan pelajaran akan terpaksa merombak dan membuat penyusunan semula. Tetapi semua ini adalah semata-mata untuk membina semula kegemilangan Islam yang mana sekarang ini kelihatan semakin malap, dan juga untuk menyelaraskan lagi pelajaran akademik mengikut aliran konsep negara iaitu Melayu Islam Beraja. Perkara ini hendaklah dilakukan dari peringkat yang rendah hingga seterusnya agar para pelajar dapat membiasakan diri untuk sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan pertama, kerana di dalam ayat-ayatnya itu banyak mengandungi maksud-maksud mendalam yang perlu dikupas lagi.
Pendidikan dari awal amat berkesan seperti yang dilafazkan oleh pepatah Melayu di perenggan awal tadi. Semoga dengan cara ini akan melahirkan para cendekiawan yang Islami. Biarlah ahli genius umat Islam dikenali sebagai ahli saintis, ahli geologis Islami, ahli ekonomis dan sebagainya.

Sebagai sebuah negara Islam, kita patut bersama-sama berganding bahu dalam menonjolkan keislaman dalam budaya kita. Sebagai seorang Islam juga kita patut beramal secara Islami dan bukannya secara sekularisme. Inikan pula dalam melahirkan generasi untuk pengganti kita di masa depan. Kita janganlah beranggapan bahawa menggandingkan setiap perkara itu dengan cara Islam bukanlah sesuatu yang kolot dan ketinggalan zaman.
Tanggapan orang mengenai Islam sebagai agama yang kolot adalah satu kesalahan yang amat besar sama sekali. Walhal Islam itu tidak akan pernah 'lapuk dek hujan dan takkan lapuk dek panas', kerana ajaran-ajaran Islam itu adalah sesuai untuk semua keadaan, sehinggalah ke Hari Perhitungan.

No comments: